Saturday, August 29, 2015

Naurah







"Naurah kerja ke..?"

"Tak kerja makcik, buat masa ni teman ibu di rumah." Naurah senyum seulas sambil menuangkan air teh ke cawan-cawan kosong.

"Owh.. Kamu tak grad ke Naurah?"

"Alhamdulillah makcik, cuma kerja nanti-nanti dulu, insyaAllah."

"Nanti-nanti ni selalunya terlajak terus." Makcik Wan ketawa yang seperti dibuat-buat.

"Makcik bukannya apa, cuma kalau dah belajar bertahun-tahun tapi tak kerja bagi makcik membazir je. Lagi-lagi sekarang ekonomi meleset. Tapi tulah kan, sekarang grad pun belum tentu senang dapat kerja, kos kat universiti pun banyak yang entah ape-ape. Belajar susah-susah, akhirnya tak berguna sangat pun." Tambah makcik wan.

Adlin yang sedang menyiapkan kerja sekolah menjeling tajam. Mak Nah hanya menarik nafas panjang, ada keluhan halus kedengaran. Dari dulu Wan tak pernah berubah. Ada saja kritik dan komen melulu yang menyakitkan hati, bisik hatinya.

Naurah tersenyum tipis.

"Ada rezeki nanti saya kerja juga makcik. InsyaAllah." Balas Naurah.


..............


"Kenapa kakak setiap kali ditanya, jarang sekali direct to the point, bagi tahu je terus yang kakak ni dah grad sebagai doktor cuma kakak tangguh posting atas sebab kesihatan, tak adalah sesiapa merendahkan kakak.." 

Suara adlin mendatar memecah kesunyian malam. Suasana malam di kampung ini sunyi, namun bagi Naurah yang sudah terbiasa tinggal di bandar, bunyi cengkerik belum membuat jemu di hati. Serambi luar rumah menjadi tempat kegemarannya. Naurah memandang Adlin yang tekun menghadap laptopnya dengan dahi yang berkerut. Entah kerja apa yang dibuatnya, bisik hatinya. Naurah menghirup air teh, dia tersenyum nipis.

"Lin, adakalanya satu bagian dari tubuh dan jiwa kita akan menjadi sangat susah ditambat, payah nak dijaga. Ianya meronta seperti haiwan liar."

"Huh?" Adlin berkerut lagi. 

"Itulah hati."

"Maksud kakak?"

"Kakak takut kakak jadi bangga diri."

Kini Adlin memandang Naurah tepat ke matanya.

"Kakak tak mungkin akan jadi macam tu."

"Kenapa?"

"Sebab kakak orang baik."

Naurah menggeleng-geleng kepalanya, dia tersenyum tawar.

"Tak salah kan, kita berhak dilayan dengan adil selepas usaha kita. Man jadda wa jadda. Siapa yang berusaha, dia akan dapat. Setiap apa yang kakak ada, setiap kedudukan di dalam masyarakat, semua itu hasil daripada kerja keras." Adlin mencebik. Belum berpuas hati.

Naurah tergelak. 

"InsyaAllah..

Nikmat selepas usaha tu kita akan dapat Lin, insyaAllah. Allah akan bagi rasa manis tu, dan semoga Allah bantu kita untuk beramal menggunakan nikmat tu. Jangan risau, kakak tak sikit pun rasa kecik hati dengan kata-kata makcik. kakak lagi selesa macam ni. 

Kakak juga tahu setiap kelebihan yang kita miliki ialah aset buat ummah. Islam perlu bangkit dengan muslim yang berjaya. Namun definisi berjaya itu kena merangkumi dua benda, inside and out. Kedudukan yang tinggi tanpa taqwa dan zuhud akan melahirkan jiwa yang lalai dan lemah.

Mula-mula kita buat kerana Allah, mendapatkan dunia kerana ummah dan agama, namun tidak mustahil satu hari nanti kita akan jatuh cinta pada dunia ini dan takut untuk kehilangannya."

Naurah mengelus lembut,

"Dan bagi kakak, jiwa ni belum cukup kalis dan kuat.

Di hospital berpuluh-puluh orang panggil kakak doktor, kakak kena berjalan sana sini pakai whitecoat, gantung stetoskop di leher, di depan patient, di cafe adakalanya berhabuk kita speaking dengan istilah-istilah yang luar biasa, kepandaian kita terserlah. Di dalam konferens kita berusaha menampilkan tahap educational kita yang terbaik dengan pandangan-pandangan yang bernas. Status-status facebook kita adakalanya menceritakan kisah medical kita, kisah hospital, on call dan sebagainya. Kita bukan tak tahu bahawa masyarakat sedang memperhatikan kita.

Kalaulah Lin tahu betapa nazaknya hati seorang doktor itu nak compensate dengan perasaan jangan takabbur dan bajet bagus tu, malah mungkin ramai yang dah terbiasa dan hidup dengannya hingga tidak perasan akan penyakit yang dihidapi jiwanya.

Seperti orang yang ada masalah Chronic Obstructive Pulmonary Diseases (COPD), setiap hari pernafasannya di bawah kapasiti normal namun baginya itu biasa. Baginya itu normal. 

Mereka akan kata,

"Pakcik tak sakit."

"Pakcik sihat je."

Sedangkan bila kita bandingkan dengan orang biasa, bila kita measure secara empirikal, paru-parunya sudah tidak lagi berfungsi dengan maksimal..

Begitulah qalbu kita.

Sayangnya kita tak ada X-ray untuk melihat tompokan hitam dan menilai gelap terangnyanya qalbu itu.

Sayang sekali."





No comments:

Post a Comment

3rd trimester.

Bismillahirrahmanirrahim. Its very difficult to update blog nowadays. Hu. Last time when I updated, I was in my first trimester of my pr...